Rabu, 21 November 2018

Datin Paduka Eina Azman Tunaikan Nawaitu Dia Untuk Bantu Keluarga Ini Jumpa Doktor Dan Ini Jawapan Doktor



KUALA LUMPUR: Pelakon, Datin Paduka Eina Azman bersyukur, hasrat membantu dua beradik yang menghidap penyakit kulit serius dipermudahkan apabila dia berpeluang membawa mereka bertemu pakar, sebentar tadi.
Eina berkata, luahannya yang dimuat naik di laman sosial, baru-baru ini mendapat perhatian ibu dua kanak-kanak itu, Nurul Ain Abdullah, 29, yang bersetuju membawa mereka bertemu pakar kulit.
“Alhamdulillah, atas persetujuan ibu mereka, saya dapat membawa mereka bertemu pakar kulit di sebuah klinik swasta untuk pemeriksaan lanjut.
“Doktor memaklumkan, mereka berpeluang untuk pulih, namun memakan sedikit masa. Kami juga bersedia menghulurkan bantuan setiap bulan bagi meringankan beban keluarga itu,” katanya.
Pelakon yang popular menerusi drama, Rahsia Hati Seorang Perempuan itu berkata, hatinya tersentuh apabila mendapat tahu mengenai penderitaan yang ditanggung Lela Safiya Azmi, 2, dan Muhammad Nayl Safiy Shahrul Azmi, enam bulan.
Selepas berbincang dengan suaminya, Datuk Paduka Kaiser Gurmeet Abdullah,
Eina atau nama sebenarnya, Ainur Syakina Azman sepakat membawa dua kanak-kanak itu dan ibu mereka mendapatkan rawatan dengan pakar kulit.
“Sebagai ibu yang mempunyai sepasang anak yang sedang membesar, saya sebak melihat penderitaan dua beradik itu.
“Tidak dapat saya bayangkan sekiranya saya berada dalam situasi mereka. Itu yang menggerakkan hati saya untuk membantu keluarga ini.
“Saya difahamkan, ibu kanak-kanak itu turut menghidap ekzema sejak remaja, selain penglihatannya kurang jelas.
Mereka bergantung hidup kepada pendapatan suami Nurul, Shahrul Azmi Aziz, 27, yang menerima RM850 sebulan sebagai kelindan lori.
“Sedih apabila dimaklumkan, mereka sering dipandang rendah, malah dua beradik itu juga sukar tidur malam kerana tidak selesa dan pedih dengan keadaan kulit mereka,” katanya.
Eina juga berharap, usaha murninya itu dapat menarik lebih ramai anggota masyarakat untuk sama-sama membantu meringankan beban keluarga terbabit.
Sumber : BHARIAN ONLINE

Tiada ulasan:

Catat Ulasan