Sabtu, 6 Julai 2019

5 Kisah Menyayat Hati Diceritakan Oleh Penumpang Titanic Yang Terselamat

mangsa terselamat tragedi titanic
106 tahun yang lalu, satu kemalangan yang dikatakan antara yang terdahsyat pernah berlaku di lautan dalam sejarah manusia telah meragut 1,503 nyawa.
Kapal Titanic yang dalam perjalanan dari Southampton, England ke New York City, Amerika Syarikat itu dikatakan tidak akan pernah karam walau apa pun yang terjadi, namun akhirnya tersungkur menyembah bumi apabila ia berlanggar dengan ketulan iceberg.
Perlanggaran yang berlaku pada jam 11.40 malam, di mana kebanyakan daripada penumpang sedang nyenyak tidur, menyebabkan 5 daripada 16 bilik kedap airnya bocor dan perlahan-lahan dimasuki air. 
5 kisah menyayat hati diceritakan oleh penumpang titanic yang terselamat 2
Sejumlah besar penumpang lelaki ditinggalkan di atas kapal kerana protokol menyelamat mengutamakan wanita dan kanak-kanak untuk terlebih dahulu menaiki bot penyelamat. 
Pada jam 2.20 pagi, selepas 2 jam 40 minit bertarung nyawa, akhirnya Titanic "patah" dan terkandas dengan lebih daripada 1,000 penumpang masih berada di atas kapal.

1. William Carter II

william carter ii 5 kisah menyayat hati diceritakan oleh penumpang titanic yang terselamat
William Carter atau lebih mesra dengan panggilan Billy berusia 11 tahun ketika dia melangkah naik ke atas kapal Titanic. Bllly merupakan penumpang kelas pertama dan keluarganya merupakan antara keluarga terkaya yang mengikuti pelayaran tersebut.
Bukan sahaja mereka merupakan penumpang kelas pertama, malah pembantu rumah mereka juga dibawa bersama-sama. Walaupun keluarga mereka sangat kaya namun masih melalui tragedi tersebut seperti mana orang lain.
Pada malam kejadian, keluarga Billy beratur untuk menaiki bot penyelamat. Ibu dan adik-beradik Billy dengan mudah dibenarkan menaiki bot tersebut, namun dia tidak dibenarkan kerana melebihi usia yang dibenarkan.
Menurut laporan, ibunya dengan pantas "menukar" Billy menjadi seorang kanak-kanak perempuan, supaya dia dibenarkan naik. Bernasib baik, Billy dan ahli keluarganya terselamat daripada tragedi tersebut.

2. Mary Conover Lines

mary conover lines 5 kisah menyayat hati diceritakan oleh penumpang titanic yang terselamat
Mary Conover Lines berusia 16 tahun ketika berada di atas kapal Titanic. Mary mengikut pelayaran tersebut bersama-sama ibunya yang ingin menghadiri majlis graduasi abangnya di Amerika Syarikat.
Kedua-dua mereka berada di dalam bilik resepsi ketika Titanic menghentam iceberg. Mary dan ibunya kemudian bergegas ke ke dek atas untuk menaiki bot keselamatan. Ketika itu, Mary menceritakan bahawa dia ternampak banyak ketulan ais di atas kapal sebelum berjaya menaiki bot tersebut.
Kisah Mary agak menyayat hati kerana dia teringat banyak peristiwa pada malam tersebut yang menghantui hidupnya selama-lamanya. Mary memberitahu bagaimana krew-krew kapal berada dalam keadaan yang sangat tenang ketika membantu orang ramai menaiki bot keselamatan, walaupun tahu nyawa mereka akan melayang malam itu.
Dia juga teringat detik-detik mengerikan melihat Titanic karam dan sangat bersyukur dia berada cukup jauh untuk tidak mendengar jeritan meminta pertolongan daripada mangsa-mangsa yang terkorban.

3. August Abraham Johannes Abrahamsson

august abraham johannes abrahamsson 5 kisah menyayat hati diceritakan oleh penumpang titanic yang terselamat
Ketika berada di atas Titanic ketika itu, August Abrahamsson berusia 19 tahun yang mana merupakan penumpang kelas ketiga. August mengikuti pelayaran tersebut bersama ibu bapanya dan dua adik beradik lain.
Pada malam kemalangan, August lambat keluar daripada biliknya kerana percaya bahawa kapal tersebut tidak mengalami sebarang masalah. Dan disebabkan terlalu lama menunggu untuk meninggalkan biliknya, dia tidak mendapat jaket keselamatan.
Ketika August menaiki ke dek paling atas, dia menuju ke bahagian hadapan kapal untunk mencari sekiranya ada bot keselamatan di situ. Disebabkan umurnya, August tidak dibenarkan menaiki bot penyelamat. Namun, dia berjaya menaiki bot penyelamat terakhir yang meninggalkan kapal Titanic.
Jika dia tidak berjaya, kemungkinan besar August akan terbunuh kerana terpaksa terjun ke dalam lautan yang tersangat sejuk tanpa jaket keselamatan. Ketika meninggalkan kapal, August memberitahu bahawa dia terdengar letupan yang besar dan melihat kapal mewah tersebut tenggelam.

4. John "Jack" Thayer

jack thayer 5 kisah menyayat hati diceritakan oleh penumpang titanic yang terselamat
Cerita John "Jack" Thayer adalah antara yang paling mendebarkan dan juga yang paling bernasib baik. John ketika itu berusia 17 tahun yang pergi bersama-sama ibu bapanya dan bertemu dengan rakan-rakan baru di atas kapal tersebut.
Pada malam kejadian, John dan salah seorang rakan barunya terpisah daripada keluarganya lalu menuju ke bahagian bot penyelamat. Malangnya mereka tidak dibenarkan menaiki bot keselamatan dan hanya mampu melihat bot yang terakhir meninggalkan Titanic.
John dan rakannya memutuskan bahawa mereka terpaksa terjun ke dalam laut jika mahu terus hidup, sebelum kapal karam. Selepas terjun, John terpisah dengan rakannya itu.
Dan walaupun John berbekalkan jaket keselamatan, dia ditarik oleh gelombang laut yang kuat dan hampir lemas. John sangat bernasib baik kerana ketika dia kembali ke permukaan air, dia timbul betul-betul di sebelah bot penyelamat yang telah terbalik yang terjatuh dari kapal.
Dia dan 28 orang yang lain kelam-kabut menaiki bot tersebut sehinggalah mereka diselamatkan.

5. Jean Hippach

jean hippach 5 kisah menyayat hati diceritakan oleh penumpang titanic yang terselamat
Jean Hippach yang berusia 16 tahun menaiki Titanic bersama-sama ibunya. Pada malam tersebut, Jean sedang tidur pada perlanggaran awal. Dia tidak terjaga sehinggalah terdengar bunyi stim yang menderu dari kapal.
Jean memberitahu bahawa dia teringat tiada siapa yang pada mulanya terkejut akibat kemalangan itu dan salah seorang daripada krew kapal memberitahunya agar tidak bimbang dan kembali ke biliknya.
Akhirnya, Jean dan ibunya, seperti mana penumpang yang lain menuju ke dek atas untuk menaiki bot keselamatan. Mereka tidak berjaya menaiki beberapa bot terawal kerana percaya mereka akan lebih selamat dengan kekal di atas Titanic.
Namun, seorang krew kapal memaksa mereka meninggalkan kapal dengan menaiki bot tersebut. Selepas agak jauh berlayar dalam bot keselamatan, Jean menoleh kembali ke arah Titanic yang sedang perlahan-lahan tenggelam.
Dia terdengar bunyi letupan yang sangat kuat dan melihat kapal mula retak. Jean kemudian melihat semua lampu kapal terpadam ketika mana penumpang di atas botnya mengayuh dengan cemas bagi mengelakkan bot mereka disedut oleh pusaran air daripada kapal yang karam.
Jika dia dan ibunya tidak menaiki bot tersebut, kemungkinan besar mereka juga akan menjadi mangsa tragedi dahsyat ini.
Kredit :iluminasi.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan