Remaja perempuan berusia 15 tahun bernama Ika, ditinggalkan ibu kandungnya di rumah perlindungan di Kuala Lumpur dan tidak pernah kembali untuk mengambil mahupun menjenguknya.
Si ibu berbuat demikian tahun lalu kerana keadaan kewangannya yang tidak stabil selain tidak mampu menyara makan minum Ika selepas ditinggalkan suaminya.
Ika yang masih perlukan kasih sayang ibunya terpaksa merayu agar ibunya kembali
"Ibu, adik janji tidak akan minta ibu belikan apa-apa. Adik cuma nak salam dan peluk cium ibu. Sekejap pun jadilah," katanya memetik laporan dari Harian Metro, Rabu.
Difahamkan, ibunya berjanji untuk menjemput anak tunggalnya itu selepas berjaya mendapatkan pekerjaan. Tetapi semenjak dari itu, insan yang paling disayanginya itu tidak pernah kunjung tiba. Malah, ibunya telah berkahwin kali kedua dan mempunyai keluarga baru.
Kata Ika, dia sanggup dihantar semula ke rumah perlindungan itu selepas pulang beraya dengan ibunya, asalkan dia dapat menyambut lebaran ini bersama ibunya.
"Saya terlalu rindukan ibu. Selama ini kami menyambut hari raya dalam keadaan sederhana, namun saya sangat gembira sebab boleh peluk dan cium ibu di pagi raya.
“Saya sanggup lakukan apa saja untuk ibu. Saya faham dia perlu dahulukan keluarga baru, cuma saya harap ibu janganlah lupakan saya begitu saja..
"Ibu jangan risau keadaan adik di sini. Adik dilayan dengan baik. Adik pun tidak akan paksa ibu ambil adik dari sini.
"Adik nak minta sangat salam tangan ibu...minta maaf dengan ibu pada pagi raya. Ibu dah lupakah semua ini?" katanya.
Bagi Ika, dia tidak menyimpan perasaan marah dan dendam terhadap ibunya, malah mendoakan ibunya sentiasa bahagia bersama keluarga barunya.
"Adik tak pernah marah ibu tinggalkan adik di sini. Ibu dah buat yang terbaik untuk adik dari dulu. Tapi adik harap ibu janganlah buang adik dari hidup ibu.
"Adik janji tidak akan minta ibu lebihkan adik dari keluarga baru. Adik tiada siapa-siapa lagi dalam hidup ini...adik ada ibu saja,” katanya kepada Harian Metro.
Ika juga tidak pernah berjumpa dengan bapanya semenjak lahir dan ini adalah kali pertama dia menyambut Ramadan dan Aidilfitri tanpa ibu kesayangannya itu membuatkan dia rindu saat-saat dia dibawa ibunya ke bazar untuk membeli makanan. dibawa membeli baju raya dan sebagainya.
"Ika rindu sangat saat bersama dengan ibu. Tapi yang paling Ika rindu adalah salam tangan ibu dan minta ampun," katanya.
Sumber: Harian Metro
Kredit :thereporter
Tiada ulasan:
Catat Ulasan