Sabtu, 29 Disember 2018

Wanita Ini Selamat Daripada Semua Kapal Karam yang Dinaikinya Termasuk Titanic - Kisah Violet Jessop

violet jessop
Sejak dari saat Violet Jessop dilahirkan lagi, jelas bahawa dia adalah seorang yang bernasib baik. Daripada sembilan orang adik-beradik, hanya enam daripada mereka yang masih hidup dan Violet adalah yang pertama. Ketika dia masih kecil, Violet telah dianalisis menghidap tuberkulosis dan walaupun doktor telah meramalkan penyakitnya itu akan membawa maut, namun dia selamat.
Oleh itu, tidaklah begitu mengejutkan apabila dia juga terselamat daripada bencana laut paling terkenal sepanjang zaman, iaitu kejadian tenggelamnya kapal RMS Titanic. Namun, apa yang mungkin mengejutkan anda ialah Violet juga selamat daripada dua lagi kejadian malang kapal karam iaitu RMS Olympic dan HMHS Britannic.
Pada awal tahun 1900-an, ia adalah masa yang agak malang bagi The Oceanic Steam Navigation Company. Ia adalah sebuah syarikat perkapalan British yang lebih dikenali dengan nama White Star Line. Syarikat ini telah menghasilkan banyak kapal persiaran dan pengangkutan seperti RMS Titanic, RMS Olympic dan HMHS Britannic.
rms olympic
RMS Olyimpic
Pada tahun 1910, selepas dua tahun bekerja sebagai pramugari bersama Royal Mail Line, Violet telah menerima untuk bekerja di atas kapal RMS Olympic pula. RMS Olympic adalah sebuah kapal persiaran awam yang mewah dan terbesar pada waktu itu.
Pada musim luruh tahun 1911, kapal RMS Olympic telah meninggalkan pelabuhannya di Southampton tetapi telah terlibat dalam pertembungan dengan sebuah kapal perang British, HMS Hawke. Namun, tiada kematian yang dilaporkan berlaku. Walaupun kapal itu rosak akibat impak pelanggaran, ia berjaya kembali semula ke pelabuhan tanpa tenggelam.
Selepas Violet mengalami peristiwa hampir tenggelam bersama kapal RMS Olympic, ramai yang beranggapan bahawa wanita itu tidak mempunyai keinginan lagi untuk mengembara melalui perjalanan laut transatlantik.
Bagaimanapun, selepas tujuh bulan kemudian Violet kembali bekerja dengan syarikat White Star Lane. Kali ini dia ditugaskan untuk menaiki kapal yang didakwa oleh syarikat itu sebagai "mustahil untuk karam".
rms titanic
RMS Titanic
Violet telah menaiki RMS Titanic sebagai seorang pramugari empat hari sebelum berlakunya tragedi pelanggaran kapal itu dengan bongkah ais besar. Dalam buku yang ditulisnya, dia menyebut bahawa dia telah diarahkan untuk bertugas di atas dek ketika berlakunya tragedi malang itu.
Violet diarahkan menjadi mengajar kepada penumpang yang tidak boleh berbahasa Inggeris agar memahami arahan yang bakal diberikan kepada mereka. Dengan tenang, penumpang berjalan dengan perlahan mengikut arahan yang diberikan. Ketika itu Violet berdiri bersama-sama dengan peramugari lain memerhatikan kaum wanita memeluk suami dan pasangan mereka sebelum berpisah untuk menaiki bot penyelamat.
Kemudian seorang pegawai kapal mengarahkan para peramugari menaiki bot penyelamat terlebih dahulu bagi menunjukkan kepada para penumpang wanita lain bahawa ianya selamat untuk dinaiki. Ini kerana penumpang wanita dan kanak-kanak diutamakan untuk diselamatkan terlebih dahulu. 
Ketika itu Violet hanya memerhatikan para penumpang wanita memenuhi bot penyelamat itu. Selepas mereka menghabiskan masa semalaman di atas bot kecil itu, Violet dan para penumpang yang lain telah diselamatkan oleh kapal RMS Carpathia. Walaupun dia mengalami sendiri tragedi Titanic dan menghabiskan masa semalaman di atas bot penyelamat, Violet seakan tidak serik.
hmhs britannic 696
HMHS Britannic
Pada tahun 1916 semasa berlakunya Perang Dunia Pertama, syarikat White Star Line telah menukar beberapa kapal mereka menjadi hospital untuk merawat tentera dan orang awam yang cedera. Salah satu kapal yang ditukar kepada hospital itu ialah HMHS Britannic, di mana Violet berkhidmat sebagai peramugari untuk Persatuan Palang Merah Inggeris.
Pada pagi 21 November, kapal HMHS Britannic itu telah tenggelam di Laut Aegean akibat satu letupan misteri. Sehingga hari ini, para penyelidik masih belum menemui sebab yang pasti apa yang menyebabkan berlakunya letupan tersebut. Pihak berkuasa British percaya ia mungkin akibat dibedil oleh peluru berpandu atau periuk api yang dipasang oleh tentera Jerman.
Di dalam bukunya, Violet memberitahu dia menyaksikan kapal besar itu karam dari dalam bot penyelamat yang dinaikinya. Kapal yang menjadi kebanggaan dunia perubatan British itu dilihat tenggelam sedikit demi sedikit dan semua jentera yang berada di atas dek jatuh ke dalam laut seakan-akan ianya sebuah permainan kanak-kanak. Akhirnya, kapal itu tenggelam sepenuhnya dan tidak kelihatan lagi.
white star line
Kapal HMHS Britannic itu mengambil masa selama 57 minit untuk tenggelam sepenuhnya dan seramai 30 orang telah kehilangan nyawa pada hari itu. Malah, Violet juga hampir menjadi mangsa.
Pada saat akhir kapal itu tenggelam, kipasnya masih berputar dan menyedut bot-bot penyelamat yang berada berhampiran dengannya. Violet sempat melompat keluar daripada bot penyelamat yang dinaikinya tetapi mengalami kecederaan yang agak serius di kepalanya ketika cuba menyelamatkan diri.
Walaupun selamat, Violet telah mengalami sakit kepala selama beberapa tahun lamanya. Apabila dia mendapatkan rawatan doktor, barulah dia mendapat tahu bahawa ketika kemalangan itu tengkoraknya mengalami sedikit keretakan.
Selepas terselamat daripada tiga kejadian kapal karam, ramai yang beranggapan dia akan bersara daripada bekerja di lautan. Walau bagaimanapun, dia kembali lagi untuk bekerja bersama White Star Line pada tahun 1920 dan kemudian berpindah pula untuk bekerja bersama syarikat perkapalan Red Star Line.
violet jessop ketika tua
Setelah karier bekerja di lautannya berakhir, Violet Jessop sempat berkahwin namun berpisah dengan pasangannya sebelum bersara dan menetap di sebuah perkampungan bernama Great Ashfield di Suffolk, di mana dia tinggal sehingga meninggal dunia pada usia 83 tahun.
Rujukan :
kredit : iluminasi.com 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan