Jumaat, 28 Disember 2018

(Video)Dianggap Gila Kerana Ingin Membina Kincir Air, Hari Ini Ciptaannya Menerangi Lebih 600 Buah Rumah


Suatu ketika, dia digelar orang gila hanya kerana mahu menghasilkan sebuah kincir air untuk penduduk-penduduk di desanya, Andung Biru di Jawa Timur.
Itu kisah lama, malah hari ini syarikat pembekal tenaga nasional pun mahu membeli mesin tenaga hidro yang dibina secara Do It Yourself (D.I.Y) miliknya. Semua bermula kerana lelaki ini ada cita-cita dan cita-citanya memberi manfaat kepada ratusan penduduk di kawasan pedalaman.
CNA Insider
Menurut Rasid, impian itu tidak bermula dengan indah. Malah dia sendiri mengakui dua kali hampir kehilangan nyawa ketika mahu membina mesin tersebut.
Kali pertama, apabila tangannya terperangkap di dalam roda ketika secara sendirian membina mesin tersebut di kawasan jauh daripada orang ramai. Kesanya, dia terlantar di atas tilam selama empat bulan akibat patah tangan dan tulang rusuk.
Insiden kedua benar-benar mampu meragut nyawanya. Ketika itu, dia juga bersendirian cuba menyiapkan pembekal tenaga hidro mikro sebelum terkena renjatan elektrik. Dalam keadaan tidak sedarkan diri, dia sekali lagi terjatuh dan terperangkap pada bahagian roda mesin berkenaan yang berputar dengan laju.
CNA Insider
Rasid kemudian ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah akibat kipas pada roda telah menghentak bahagian dadanya dengan kuat. Kehilangan banyak darah dan tidak sedarkan diri, Rasid sekali lagi perlu menangguhkan hasrat murninya mahu membantu penduduk kampung.
Insiden berdarah dua kali itu mungkin meninggalkan bekas pada tubuhnya, tetapi tidak pada jiwanya. Rasid terus bangkit dan berusaha gigih untuk menyiapkan mesin jana kuasa tersebut.
”Ini adalah perjuangan. Akan sentiasa ada halangan dalam perjuangan. Tiada masalah,” kata Rasid.
CNA Insider
Bagi penduduk kampung, Rasid bukan sekadar warga desa yang biasa. Dia digelar ‘Pahlawan Tenaga’. Kerana usaha gigihnya, setiap isi rumah mendapat bekalan tenaga elektrik. Lampu kembali menyala dan peti ais kembali berfungsi. Hiburan pun ada apabila televisyen sudah boleh diguna.
Ini kerana satu ketika kelengkapan elektrik supermewah yang dijual di pasaran hanya komoditi tidak berguna kepada penduduk-penduduk desa ini. Sehinggalah pada tahun 1994, Rasid muncul dengan alat ciptaannya, memberi sinar baru kepada penduduk di tempatnya sendiri.
Hampir keseluruhan proses membina mesin tersebut dibina secara sendirian oleh Rasid kerana pada awalnya tiada siapa pun percaya budak kampung sepertinya yang hanya bergelar petani tahu cara untuk menghasilkan tenaga elektrik.
CNA Insider
”Dulu saya fikir itu adalah mustahil. Bagaimana kamu mahu menghasilkan elektrik daripada air?”, kata Ustaz Sailful Ilham, rakan baik Rasid dan juga guru pondok yang mendapat manfaat daripada ciptaan Rasid.
Bercerita mengenai motivasi sehingga dia mahu membina mesin kincir air tersebut, ujar Rasid ia bermula daripada kesusahan yang perlu dilaluinya ketika zaman remaja dan bersekolah.
Cabaran utama yang perlu dilalui dia waktu itu apabila mahu mengulangkaji pelajaran dan membaca Al-Quran di waktu malam.
”Kami menggunakan lampu minyak tanah dan mata saya sering merasa pedih. Itu adalah perkara yang paling mengecewakan saya. Apabila ada angin bertiup, kami dah tak boleh mengulangkaji pelajaran.
CNA Insider
”Kemudian, kami terpaksa menyiapkan kerja keesokkan hariannya, waktu pagi sebelum bergerak ke sekolah,” kata Rasid. Ketika itu, harga minyak tanah juga mahal kerana Rasid datang daripada keluarga yang tidak berkemampuan seperti keluarga-keluarga yang lain.
Rasid kemudian nekad mahu belajar di bidang kejuruteraan dengan mendaftar di salah sebuah sekolah vokasional di Indonesia, namun kemiskinan menyebabkan pengajiannya kandas di tengah jalan. Berbekalkan sedikit ilmu yang ada, Rasid pulang ke kampung dan bekerja di kedai basikal milik rakannya untuk mencari sedikit wang.
”Saya membantu rakan membaiki basikal di kedai miliknya. Saya fikir, semua itu adalah ilmu,” kata Rasid lagi.
Suatu hari, Rasid berpeluang untuk melawat sebuah ladang kelapa sawit yang terletak kira-kira 50 kilometer daripada rumahnya setelah dijemput oleh bapa saudaranya.
CNA Insider
Biarpun kawasan tempat tinggal di kawasan ladang itu terpencil seperti kampungnya dan tidak mendapat bekalan elektrik daripada kerajaan, penduduk di situ menikmati kemudahan tenaga elektrik. Rupa-rupanya, penduduk di situ mendapat manfaat daripada kincir air yang dibina sejak era kolonial, Belanda suatu ketika dahulu.
Kerana ingin tahu, Rasid meminta kebenaran daripada pihak pengurusan kincir air itu untuk mengkaji mesin berkenaan dan dari situlah bermulanya tekad dia untuk membina mesin yang sama. Rasid mengukur saiz mesin itu, bahan binaan dan turut membuat lakaran kasar sebagai panduan.
”Saya ketika itu berpendapat mesin tersebut mudah untuk dibina. Saya boleh melakukannya dan saya perlu melakukannya,” kata Rasid.
Pulang ke kampung, Rasid memaklumkan kepada isterinya yang baru dikahwini, Sulyani mengenai perancangannya. Sulyani bertanya dimanakah dia mahu mendapatkan besi untuk membina mesin tersebut.
”Saya menjawab, saya akan menggantikannya dengan kayu,”ujar Rasid menandakan bermulanya perjalanan untuk membina sebuah mesin kincir air.
CNA Insider
Biarpun mendapat sokongan daripada keluarga, usaha Rasid ditertawakan oleh penduduk kampungnya sendiri.
”Jika anda berputus asa kerana diherdik oleh orang asing, maka sebenarnya anda lebih bodoh daripada apa yang anda sangka. Apabila ada yang menyindir, ia sepatutnya menjadi motivasi buat anda.
”Apabila mereka bertindak memalukan anda, itulah satu perkara yang baik. Kenapa? Sebab anda mempunyai alasan dan peluang untuk membuktikan sebaliknya,” ujar Rasid lagi.
Untuk mendapatkan dana bagi memastikan projek itu berjalan, Rasid menjual dua ekor lembu miliknya dan membeli bahan-bahan binaan seperti kayu untuk memulakan kerja pembinaan. Malah dia turut membeli sebuah generator yang sudah rosak sebelum membaikinya bagi memudahkan urusan pembinaan.
CNA Insider
Bukan mudah, Rasid berhadapan dengan pelbagai masalah untuk memastikan mesin yang dibina benar-benar mampu menghasilkan tenaga yang mencukupi untuk menerangi seluruh kampung.
Sehinggalah pada tahun 1994, prototaip ketiganya berfungsi dengan baik dan buat pertama kali, kampung yang berada dalam kegelapan buat sekian lama akhirnya menerima simbahan cahaya daripada sebuah mentol lampu.
Bermula daripada saat itulah, penduduk kampung yang satu ketika langsung tidak memberi harapan mula kagum dan nampak dengan usaha Rasid, termasuk Ustaz Saiful sendiri.
”Dengan adanya tenaga elektrik, pelajar-pelajar saya boleh belajar untuk tempoh yang lebih lama. Saya berharap saya dapat membantu pelajar-pelajar sekolah saya ini mencapai cita-cita meraka,” katanya.
Itulah kisah Rasid Pahlawan Tenaga yang dahulunya diherdik tetapi ciptaannya hari ini membekalkan tenaga elektrik untuk lebih daripada 600 buah rumah. Saksikan video dibawah untuk lebih memahami kisah si Rasid ini.

kredit : siakapkeli.my 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan