Tanggungjawab menjaga ibu bapa yang sudah uzur merupakan satu amanah yang harus dipikul oleh setiap anak. Hal ini demikian kerana kedua ibu bapa sudah membanting tulang sepanjang usia mereka untuk memberikan pendidikan terbaik serta menjaga kebajikan anak-anak agar menjadi manusia berjaya kelak.
Namun, dalam masyarakat hari ini, kita dapat lihat berita mengenai orang tua yang diabaikan oleh anak-anak mereka. Ada yang dihalau keluar dari rumah, diletakkan di rumah penjagaan warga emas dan sebagainya.
Namun, kisah tentang seorang wanita kelainan upaya (OKU) ini yang sanggup menjaga ibunya yang berusia 100 tahun pasti akan membuatkan hati anda tersentuh!
Wanita dikenali sebagai Cai Dengfeng berusia 75 tahun ini menetap di wilayah Sichuan, China dan mengalami kecacatan sejak kecil lagi. Ketika di usia empat tahun, Cai telah meminum sejenis ubat yang menyebabkan kaki dan tangannya membengkak kemerahan serta dipenuhi cecair.
Insiden ini membuatkan kedua-dua belah tangan dan kaki Cai terpaksa dipotong dan sejak itulah Cai menjadi seorang OKU.
Semasa berusia 12 tahun, Cai mengambil keputusan untuk berhenti bersekolah disebabkan oleh keadaan kesihatannya yang tidak baik. Tidak lama kemudian, mereka sekeluarga diuji apabila bapanya meninggal dunia.
Sejak peristiwa perit itu, ibunya yang menjadi tunggak keluarga untuk mencari nafkah bagi mereka empat beranak (Cai mempunyai dua lagi adik perempuan).
Meskipun keadaan fizikalnya tidak normal, Cai tidak pernah menganggap ianya sebagai satu alasan untuk dia tidak membantu ibu mencari rezeki. Setiap hari, Cai akan memakai kasut khas untuk melindungi lututnya daripada berasa sakit.
Kasut tersebut dihasilkan sendiri oleh Cai. Bagaimanapun, kasut itu tidak mampu bertahan lama, hanya sekitar tiga hingga empat bulan sahaja sebelum Cai terpaksa menghasilkan kasut yang baharu.
Sehingga kini, Cai memaklumkan telah menggunakan lebih daripada 200 pasang kasut khas tersebut!
Cai juga hidup bersendirian bersama ibunya setelah kedua-dua adik perempuannya berkahwin dan menetap bersama suami masing-masing.
“Saya memiliki dua adik perempuan. Seorang bekerja di kedai kain dan seorang lagi tinggal di Shanghai. Hidup mereka juga susah,” kata Cai yang tidak pernah berkahwin kerana keadaan fizikalnya.
“Saya tidak pernah merasa dipaksa untuk menjaga ibu saya. Dia adalah ibu yang memberi saya kehidupan dan memelihara saya. Jika bukan saya, siapa lagi yang akan menjaganya.”
Selain bercucuk tanam, Cai juga telah bekerja selama 20 tahun di pejabat pentadbiran kampungnya dan beberapa lagi pekerjaan lain bagi menampung perbelanjaan mereka berdua.
Namun demikian, Cai bukanlah seorang wanita yang kuat seperti dahulu lagi. Dia juga semakin tua dan lemah serta keadaan fizikalnya turut membuatkan segala pekerjaan menjadi semakin sukar untuk dilakukan.
Di samping itu, keadaan kesihatan ibu Cai juga tidak lagi di tahap yang memberangsangkan. Penglihatan ibunya semakin kabur dan sering hilang pertimbangan.
Apa-apa pun, kita harus akui bahawa Cai sememangnya seorang anak yang baik dan penyayang. Kita harus jadikan Cai sebagai contoh terbaik untuk mengenang dan membalas semula jasa ibu bapa yang telah membesarkan kita.
Semoga Cai terus tabah menghadapi dugaan ini dan didoakan ada pihak berwajib yang sudi menghulurkan bantuan kepada Cai dan ibunya.
Sumber: DKN.tv
Tiada ulasan:
Catat Ulasan