Ahad, 8 September 2019
5 Aktiviti Gila Masyarakat Zaman Dahulu
Aktiviti kemasyarakatan memang berbeza-beza mengikut zaman. Di zaman kita, kita sendiri lebih gemar menghabiskan masa dengan menyertai program-program riadah atau majlis ilmu yang membentuk minda serta pengetahuan kita.
Sama seperti sekarang, masyarakat zaman dahulu juga mempunyai tabiat atau aktiviti mereka sendiri yang unik bagi zaman mereka. Bagaimanapun, ada beberapa aktiviti bermasyarakat yang menjadi kebiasaan masyarakat terdahulu lebih banyak membuatkan kita tertanya-tanya - kenapa?
Terlalu pelik dan ada kalanya lebih layak dikatakan aktiviti gila - berikut adalah lima aktiviti masyarakat zaman dahulu yang pastilah sangat sukar untuk kita terima.
1. Teater seksaan manusia sebagai hiburan
Hobi menonton manusia diseksa mempunyai sejarah yang sangat panjang. Sekiranya zaman sekarang, kita ada filem-filem yang memaparkan adegan-adegan kurang menyenangkan ini - masyarakat zaman dahulu terpaksalah berkunjung ke teater-teater khas bagi memenuhi kehendak mereka.
Salah satu teater yang paling terkenal menjadikan penyeksaan manusia sebagai fokus, adalah sebuah teater bernama Théâtre du Grand Guignol, terletak di Paris. Teater ini cukup terkenal dengan persembahan mereka yang sadistik, dibuka pada tahun 1897 dan hanya ditutup pada tahun 1962. Teater ini mampu memuatkan 293 orang dalam satu-satu masa.
Semua persembahan yang dijalankan di teater ini berkait dengan acara-acara kejam dan penyeksaan yang boleh dijalankan ke atas manusia - seperti adegan bunuh, pemisahan organ atau hanya sekadar seksaan secara fizikal dan mental; yang dipersembahkan secara lakonan langsung. Kesan khas yang digunakan juga realistik, lebih terarah kepada penghasilan replika tubuh manusia dalam keadaan tidak sempurna yang realistik. (Madness, Torture and Murder on a Paris Stage: That's Entertainment!)
2. Pakej lawatan ke kawasan penempatan masyarakat miskin
Salah satu aktiviti masyarakat dunia yang masih lagi diamalkan sehingga ke hari ini - penjualan pakej-pakej lawatan ke kawasan-kawasan miskin merupakan satu bentuk aktiviti pelancongan yang mampu mendatangkan pendapatan lumayan pada pengusahanya.
Populariti pakej aktiviti ini dipercayai bermula sekitar tahun 1884 apabila golongan-golongan bangsawan menawarkan habuan wang kepada mana-mana individu yang boleh menjadi pemandu kepada mereka, berjalan-jalan di kawasan yang diketahui mempunyai taraf hidup yang teruk.
Pada awalnya aktiviti ini dikatakan dilakukan sebagai salah satu cara golongan bangsawan memenuhi tuntutan ego mereka, membandingkan diri mereka dengan orang lain yang tidak bernasib baik. Kritikan ini malangnya masih terpakai sehingga ke hari ini, disebabkan oleh penawaran pakej-pakej serupa masih lagi berleluasa.
Negara seperti Afrika dan India kerap kali dijadikan destinasi aktiviti ini termasuklah beberapa kawasan terkenal yang menjadi penempatan golongan susah, seperti The Bronx di Amerika Syarikat dan beberapa daerah di Brazil. (Slum Tourism: How It Began, The Impact It Has, And Why It Became So Popular)
3. 'Dime Museum'
Permintaan untuk memenuhi kehendak hiburan golongan kurang berkemampuan di Amerika Syarikat, membuatkan beberapa pengusaha perniagaan membangunkan satu konsep yang dinamakan sebagai 'Dime Museum'; sempena nilai caj masuk yang akan dikenakan kepada pengunjung yang sangat murah - iaitu satu dime sahaja.
Dibuka buat pertama kali pada tahun 1841 di New York, Amerika Syarikat; Dime Museum pertama dinamakan sebagai 'Barnum American Museum of Curious' sempena nama pengasasnya P.T. Barnum. Apa yang dipertontonkan di muzium beliau, adalah perkara-perkara pelik yang wujud dan ada juga yang sengaja direka, seperti 'ikan duyung Feejee' tarikan utama muzium beliau - yang sebenarnya merupakan gabungan tengkorak monyet dengan tulang ikan yang disambungkan.
Beberapa muzium serupa dimulakan oleh pengusaha lain, membawakan kepada masyarakat setempat perkara-perkara aneh untuk menjadi tatapan mereka, seperti pasangan paling tinggi, orang-orang kerdil serta manusia-manusia yang mempunyai konsidi dan kecacatan yang jarang dapat dilihat. Oleh kerana caj kemasukan yang murah, Dime Museum mendapat sambutan yang sangat menggalakkan. (Dime Museum)
4. Zoo Manusia
Salah satu tarikan utama masyarakat barat yang membuktikan betapa rendahnya akhlak mereka ketika era tersebut, kemunculan zoo yang menjadikan manusia terkurung sebagai tarikan mencapai kemuncak populariti sekitar tahun 1870-an, dengan pembukaan zoo manusia di Paris, Hamburg, London dan New York.
Kumpulan-kumpulan manusia yang kerap kali dijadikan mangsa serta dimalukan sedemikian rupa, datang dari pelbagai jenis kelompok berbeza dan bergantung kepada 'permintaan' yang ada. Antara komuniti yang kerap kali menjadi mangsa sudah pastilah orang Afrika, selain daripada orang Samoa, Sami, Nubia serta banyak lagi kelompok manusia yang diminta berdiri dalam sangkar, untuk dijadikan tarikan.
Kami pernah menulis tentang seorang lelaki Afrika bernama Ota Benga yang menjadi mangsa nafsu gila orang barat ini. (Belgium comes to terms with 'human zoos' of its colonial past)
5. Karnival hukuman di khalayak ramai
Pembunuhan atau hukuman penjenayah yang dijalankan di depan orang ramai, merupakan satu perkara biasa bagi masyarakat zaman dahulu. Jika anda beranggapan perkara itu hanya berlaku dalam filem atau drama sahaja, tanggapan anda itu tidak benar.
Sejak mula diperkenalkan, pembunuhan di khalayak awam ini dianggap sebagai salah satu cara yang paling berkesan pihak pemerintah dalam mendidik masyarakat, tentang risiko melakukan jenayah. Bagaimanapun, ekoran daripada kunjungan orang ramai yang mampu mencecah ratusan ribu - acara hukuman ini akhirnya menjadi ibarat karnival masyarakat.
Jumlah pengunjung pula berbeza, bergantung kepada siapa yang dihukum. Penjenayah kurang ternama? Mungkin hanya ribuan yang hadir. Hukuman seorang penjenayah terkenal di London menerima kunjungan lebih 100,000 orang. Kali terakhir penjenayah dihukum mati di depan khalayak ramai, di Amerika Syarikat pada tahun 1936 - menerima kunjungan 20,000 orang yang mahu menyaksikan sendiri seorang perogol bernama Rainey Bethea dihukum.
Selain itu, dalam salah satu insiden paling terkenal dalam sejarah - mayat diktator terkenal Benito Mussolini dengan sengaja digantungkan selepas dibunuh, bagi membolehkan orang ramai melakukan apa saja yang mereka mahu sebagai balasan terhadap semua kekejaman yang telah dilakukannya. Jadi masyarakat Milan ketika itu melakukan apa yang boleh mereka buat - kencing, tendang, tembak, baling dengan batu dan bermacam lagi tindakan untuk memuaskan hati masing-masing.
Kredit :iluminasi.com
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan