Pasangan duo anak-beranak Karri Carberry, 19 tahun dan bapanya Darrin Carberry dari Alberta, Kanada menjadi subjek video menyentuh hati yang tular dengan lebih 23 juta paparan di media sosial, apabila seorang netizen di Facebook telah merakamkan saat paling indah masa bersama anak dan bapa ketika satu konsert kumpulan rock Kanada, Three Days Grace yang sedang berlangsung di Edmonton.
Netizen tersebut bernama Jules Maria menulis, “Kami melihat seorang gadis dan seorang lelaki yang nampaknya telah mengambil banyak tempat untuk menari ketika konsert sedang berlangsung. Pada mulanya kami berasa jengkel dan meluat, tetapi kemudian kami menyedari apa sebenarnya yang sedang berlaku. Lelaki itu, seorang bapa yang pekak, dan anak gadis ini menyanyikan lagu dan terjemahan liriknya dari konsert itu dalam bahasa isyarat kepada bapanya.”
Dan akhirnya, anak-beranak Carberry ini yang menjadi tumpuan utama bagi Jules Maria dalam konsert itu, sambil menggambarkan perasaannya dengan apa yang dilihat sebagai memukau pandangan.
Ketika dihubungi, Karri memberitahu yang dia hanya mahu memastikan bapanya berasa seronok dan terhibur ketika berada dalam konsert rock itu.
Karri menjelaskan, “Kami berada dalam kalangan penonton yang hanya mahu berasa seronok dan terhibur, dan saya kemudian membuat keputusan untuk menyanyikan lagu dari konsert dengan terjemahan liriknya dalam bahasa isyarat kepada bapa saya, supaya dia tahu lagu yang mana satu sedang dipersembahkan.”
Katanya lagi, “Seorang wanita telah datang menyapa kami selepas itu dan berkata, yang dia telah merakamkan aksi kami dan berharap kami tidak keberatan untuk memberi keizinan. Katanya, aksi kami menjadi saat paling hebat dan indah untuk disaksikan.”
Video aksi Karri dan bapanya yang telah dimuat naik oleh Jules Maria di Facebook itu telah menjadi tular dan menyentuh hati para netizen. Semenjak itu, Karri menerima banyak mesej daripada rakan-rakan, ahli keluarga serta para netizen dari seluruh dunia.
Karri berkata, “Saya tersenyum lebar melihat video itu. Ramai yang memberi respon bahawa mereka berasa tersentuh dan mengalirkan air mata melihat aksi dan hubungan erat kami. Begitu banyak komen dan maklum balas positif. Saya turut berasa terharu, tetapi pada masa yang sama juga berasa seperti berada dalam mimpi.”
Lihat rakaman video menyentuh hati ini di bawah.
kredit : Era Baru