Entah mengapa, kadangkala satu gambar mampu menceritakan segalanya atau membuat hati tertanya-tanya sendiri, malah mampu pula membuat hati menjadi begitu hiba dan sayu.
Betapa bertuah hidup seseorang walaupun diri sering merungut dengan kesusahan yang tidak seberapa. Masih tidak cukup-cukup, masih tidak berpuas hati walhal terdapat ramai golongan kurang bernasib baik di luar sana, yang terus menyatakan rasa kesyukuran tanpa putus-putus.
Seorang netizen dari Mexico, Angel Fonseca telah memuat naik gambar yang ringkas dan menjadi tular dengan pelbagai reaksi menyentuh hati daripada ribuan netizen walaupun ramai yang tidak tahu latar belakang sebenar gambar ini.
Angel Fonseca berkongsi posting yang menunjukkan gambar seorang budak lelaki berpakaian lusuh dengan berselipar sedang asyik menonton rancangan kartun dari luar sebuah kedai amat menghibakan hati kalangan netizen.
Kapsyen Angel yang menulis, “Tidak semua orang dilahirkan dengan peluang yang sama, hargai apa yang anda ada.”
Seperti menonton televisyen yang sering dianggap sebagai perkara biasa dan diabaikan oleh jutaan orang di seluruh dunia, tetapi merupakan rahmat dan kesyukuran bagi segelintir orang lain, yang tidak pernah memiliki televisyen di rumah mereka.
Gambar budak lelaki ini telah diambil oleh Angel Fonseca di Las Choapas, Mexico, satu kawasan yang padat dengan penduduk miskin. Mesej yang disampaikan oleh Angel telah menyentuh hati lebih 12,000 netizen dengan 140,000 perkongsian dan 1,200 yang memberi komen.
Seorang netizen memberi komen berdasarkan pengalamannya yang pernah menjadi budak miskin seperti budak lelaki ini, “Saya ingin memberitahu anda bahawa anak itu tahu bagaimana untuk menghargai sesuatu lebih daripada sesiapa, atau tidak seperti kanak-kanak lain dan ia merupakan satu pengajaran kehidupan. Tuhan mahu memberitahu kita supaya tidak melupakan asal-usul, berusaha maju ke hadapan, tetapi pada masa sama terus merendah diri.”
Manakala netizen ini pula menulis, “Anda membawa saya ke masa lalu semasa saya melalui pengalaman yang sama. Kini hidup saya lebih baik dan diberkati, maka saya amat bersyukur kerana dengan usaha serta titik peluh, saya berjaya mencapai impian. Terima kasih atas gambar yang memberi ingatan ini.”
Sambil terdapat pula netizen yang menceritakan bagaimana mereka juga pernah menonton televisyen dari luar rumah jiran dan mereka tidak pula dipelawa masuk, hanya mampu menonton filem di televisyen melalui tingkap.
Dan ada pula yang berasa kasihan dengan nasib anak jiran dan mempelawa mereka masuk untuk menonton televisyen bersama.
Dalam posting itu, Angel Fonseca turut memberitahu terdapat ramai kanak-kanak miskin seperti budak lelaki ini di Las Choapos yang memerlukan bantuan.
Beliau berharap dan menyeru agar mesej ini mendapat perhatian masyarakat dunia untuk memberikan bantuan kepada kanak-kanak miskin yang memerlukan.
Apapun keadaan dan situasi, gambar ini menyedarkan kita supaya sentiasa hidup dengan penuh rasa kesyukuran dan menghargai segala apa yang kita ada walaupun ia tidak seberapa.
Kredit :Era Baru
Tiada ulasan:
Catat Ulasan