Khamis, 6 Disember 2018

Jabatan Meteorologi Ramal Malaysia Bakal Dilanda Cuaca Ekstrem



Perubahan cuaca dunia serta masalah pemanasan global bakal mengundang cuaca ekstrem yang diramalkan melanda negara bermula tahun 2019. Situasi tersebut bakal berterusan untuk jangka masa yang lama.

Ini bermakna, negara kita bakal dilanda cuaca panas terik selain menerima taburan hujan yang tinggi sekali gus boleh menjurus kepada kejadian bencana seperti kemarau dan juga banjir.

Memetik laporan Utusan, data yang diperoleh oleh Jabatan Meteorologi sejak beberapa tahun lalu menunjukkan peningkatan ketara secara konsisten setiap tahun disemua kawasan cerapan seluruh negara.


Gambar Hiasan (Stesen Kaji Cuaca)
Ketua Pengarahnya, Alui Bahari berkata, berdasarkan data pencerapan di stesen meteorologi Jabatan Meteorologi, dalam tempoh 40 hingga 60 tahun, corak purata suhu tahunan negara menunjukkan trend peningkatan.

“Suhu panas ekstrem, gelombang haba dan kejadian hujan lebat lebih daripada kebiasaan dijangkakan akan berlaku dengan lebih kerap berbanding tahun-tahun sebelumnya dan trend tersebut dilihat terus meningkat.

“Kesannya, suhu panas ketika musim kemarau akan me­ningkat lebih tinggi berbanding sebelumnya, begitu juga musim tengkujuh akan menyebabkan kejadian banjir yang lebih ekstrem,” katanya.

Merujuk Laporan Khas 1.5 darjah Celsius (SR1.5), Panel Antara Kerajaan Mengenai Perubahan Iklim (IPCC) baru-baru ini turut menyatakan dalam tempoh 100 tahun (1905 hingga 2005) suhu permukaan dicatatkan meningkat sebanyak 0.17 darjah Celsius.


Gambar Hiasan
Kenaikan suhu menyebabkan paras permukaan laut dunia meningkat sebanyak 1.8 milimeter setahun. Peningkatan ini sudah pastinya memberi impak kepada negara-negara kepulauan termasuk Malaysia.

Jabatan Meteorologi mengesahkan bahawa, berdasarkan maklumat terkini (sehingga 15 Oktober), kebanyakan sistem model iklim menjangkakan kebarangkalian untuk fenomena El Nino akan bermula pada November atau Disember ini adalah 70 hingga 75 peratus.

Beliau juga memberitahu bahawa setakat ini tiada kaedah saintifik di dunia berupaya untuk meramalkan keadaan cuaca dalam jangka panjang di masa hadapan.

Tambahnya jika dilihat kepada trend unjuran peningkatan suhu purata global tetap berlaku sekiranya kesan antropogenik atau pelepasan gas rumah hijau terus wujud serta tidak dikawal.

Dari segi persiapan, jabatan telah mengaplikasikan sistem Pengkomputeran Berprestasi Tinggi sejak pertengahan tahun 2017 bagi membolehkan risiko bencana dijangka tujuh hari lebih awal berbanding tiga hari sebelumnya.

Sistem ini berfungsi untuk membekalkan perincian bagi kawasan yang dilanda bencana dengan resolusi satu kilometer persegi berbanding 4 km persegi sebelumnya.


Gambar Hiasan
Alui menegaskan bahawa impak cuaca ekstrem kepada manusia boleh dikurangkan menerusi persediaan awal seperti sentiasa bersedia dengan kemungkinan bencana.

Orang ramai perlu peka terhadap sebarang perubahan cuaca di kawasan masing-masing serta mengambil tahu maklumat cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteologi.

Selain pihak Jabatan Meteologi, persediaan untuk menghadapi ancaman cuaca ekstrem turut melibatkan pelbagai pihak. Antaranya ialah agensi-agensi pengurusan bencana, pertubuhan bukan kerajaan serta orang ramai.

Sumber: Sinar Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan