Apabila kita berbicara tentang pekerjaan dan bayaran gaji di Korea Utara, masih banyak yang kita tidak ketahui. Sebelum ini kami pernah berkongsi tentang corak pemerintahan kerajaan Korea Utara, sekatan melayari Internet dan juga 10 aktiviti harian yang diharamkan di sana. Namun, masih banyak perkara yang dirahsiakan oleh kerajaan di bawah naungan Kim Jong-un itu.
Mesti ramai orang tertanya-tanya, masyarakat di sana bekerja sebagai apa, memegang jawatan apa dan berapakah gaji mereka?
BBC pernah melaporkan pendapatan per kapita negara itu sebenarnya dijangkakan hanya sekitar $1,000 (RM4,085) setahun. Kali ini kami ingin kupas lebih dalam mengenai isu gaji rendah dan persekitaran kerja yang dihadapi rakyat Korea Utara saban hari.
1. Kerjaya "terbaik" di Korea Utara hanya bergaji kecil
Bagi rakyat Korea Utara, gaji bulanan yang dianggap baik untuk mereka hanyalah $62 (RM253) sahaja.
Bagaimana seseorang boleh hidup dengan wang sebanyak itu setiap bulan? Tetapi itulah gaji tipikal bagi 55,000 warga Korea Utara yang bertugas di Kompleks Perindustrian Kaesong. Pekerja di kompleks ini yang terletak 6 batu arah Utara dari Zon Bebas Tentera Korea membina dan memasang peralatan dan produk lain yang dibawa oleh syarikat dari Korea Selatan.
Selain gaji 'tinggi' yang diberikan untuk pekerjaan yang menjadi rebutan ramai ini, persekitaran kerja di situ juga dikhabarkan jauh lebih baik daripada tempat lain di Korea Utara.
Pihak Korea Selatan walau bagaimanapun telah menamatkan operasi di Kaesong pada 2016 sebagai tanda protes terhadap program nuklear dan peluru berpandu kerajaan kuku besi itu. (Sumber)
2. Pegawai tentera mendapat bonus bulanan yang besar
Kerjaya dalam bidang ketenteraan mungkin merupakan pekerjaan yang dianggap paling berprestij bagi masyarakat di sana. Ia didominasi oleh kaum lelaki dan rejim ketenteraan itu mempunyai kuasa mutlak ke atas kesemua 24.5 juta rakyat.
Salah satu sumber melaporkan jeneral berbintang empat menerima bayaran bonus bulanan sebanyak $1,200 (RM4,900) dalam bentuk kad tunai bermata wang dolar. Manakala jeneral berbintang tiga dan dua pula masing-masing menerima bayaran bonus $1,000 dan $700 setiap orang. Kad tunai yang diterima boleh digunakan di kedai atau restoran yang menerima mata wang asing. (Sumber)
3. Pekerja kilang menerima bayaran di bawah $50 setiap bulan
Seorang ahli perniagaan dari China yang menjalankan perniagaan bahan pembinaan bumbung dan syarikat pemprosesan logam di bandar Rason, Korea Utara melaporkan membayar gaji pekerja Korea Utara sebanyak $47 (RM192) setiap bulan. Menurutnya lagi, majoriti majikan lain juga memberikan bayaran yang lebih kurang sama.
Seorang lagi ahli perniagaan dari China yang sedang membangunkan sebuah lombong di wilayah Hwanghae berkata dia membayar antara $60-$70 setiap bulan kepada pekerja dari Korea Utara. (Sumber)
4. Peniaga di pasar memperolehi kurang dari $1 setiap hari
Terdapat lebih 380 pasar di seluruh Korea Utara di mana peniaga dan pedagang menjual pelbagai jenis barangan harian seperti makanan ruji (jagung, kekacang, mi dan daging kering), ubat-ubatan, sut untuk lelaki dan wanita, periuk nasi Jepun, peti ais Jerman dan pelbagai lagi barangan elektronik lain.
Kebanyakan rakyat kelas pertengahan membeli-belah atau berniaga di sini dan kebiasaannya, penjual hanya membawa pulang 'keuntungan' sekitar $6 (RM24) hingga $18 (RM73) sahaja setiap bulan. (Sumber)
5. Petani antara golongan dengan bayaran terendah
Rakyat kelas bawahan di Korea Utara kebanyakannya adalah petani. Kemiskinan sangat berleluasa di kawasan pedalaman negara itu di mana kenderaan bermotor mahupun mesin jentera hampir tidak wujud. Wanita-wanita yang sudah lanjut usia masih lagi terbongkok-bongkok mengerjakan sawah padi. Anak-anak kecil terpaksa memikul guni sepanjang jalan.
Di bawah pemerintahan Kim Jong-un, para petani dibenarkan membawa pulang sedikit hasil tuaian mereka. Namun, mereka hanya menerima bayaran sekitar $1 (RM4) hingga $2 (RM8) sahaja setiap bulan. (Sumber)
6. Ada rakyat yang bekerja di luar negara, namun ia tidaklah semudah yang disangkakan
Ada juga rakyat Korea Utara yang mendapat pekerjaan di negara lain, namun mereka masih dibayar dengan gaji yang amat tidak berpatutan dan bekerja dalam persekitaran yang membahayakan.
Misalnya, terdapat sekitar 190 orang warga Korea Utara yang bekerja di Arena Zenit di St. Petersburg, Russia. Stadium itu bakal menjadi tuan rumah Piala Dunia FIFA 2018. Seorang subkontraktor melaporkan imigran-imigran ini terpaksa bekerja lebih masa dengan tiada hari rehat antara Ogos dan November 2016. Seorang pekerja berusia 47 tahun pernah meninggal dunia di tapak pembinaan akibat serangan jantung akibat bekerja sekurang-kurangnya 11 jam sehari, tujuh hari setiap minggu. Bayaran yang diterima pula hanyalah antara $10 (RM40) hingga $15 (RM61) seminggu.
Menurut subkontraktor itu, pekerja-pekerja ini hidup bagaikan tahanan perang. Mereka amat takut untuk membuka mulut atau bercakap dengan sesiapa. Malah mereka juga tidak berani memandang wajah sesiapa.
Sementara itu, satu siasatan telah dijalankan pada 2016 berkaitan persekitaran kerja warga Korea Utara yang menjadi buruh paksa di Poland. Siasatan itu dimulakan setelah kematian seorang pengimpal yang melecur 95% dari badannya akibat persekitaran dan amalan kerja yang tidak selamat. Dilaporkan bayaran gaji buruh-buruh paksa ini telah digunakan sebagai dana rejim ketenteraan Korea Utara. (Sumber #1, #2)
7. Pekerja wanita bergaji lebih tinggi
Walaupun masyarakat di sana didominasi oleh kaum lelaki, pekerja wanita di Korea Utara memperolehi bayaran gaji yang lebih banyak sehingga menjana 70% daripada pendapatan isi rumah.
Kebanyakan wanita bekerja sebagai peniaga di pasar manakala kaum lelaki pula terpaksa bekerja dengan pihak kerajaan yang memberikan bayaran amat sedikit.
Menurut salah seorang pembangkang kerajaan, Kim Min-Jung, jika sesiapa menginginkan kehidupan yang menyenangkan di negara itu, mereka bolehlah menjadi wanita yang berniaga di pasar atau berkahwin dengan lelaki yang hidup bergelumang dengan rasuah dan mengutip hasil duit cukai ke atas peniaga wanita di pasar. (Sumber)
Pernah terbayang tak betapa sengsaranya jadi warga Korea Utara? Nikmat apa lagi yang kita mahu dustakan?
kredit :iluminasi.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan