Setiap makhluk yang dicipta oleh Tuhan mempunyai cara tersendiri untuk meluah dan menzahirkan perasaan mereka antara satu sama lain. Jika sedang marah, mereka mungkin akan bergaduh dan jika mereka sayang antara satu sama lain, anda akan dapat lihat cara mereka menunjukkan kasih sayang antara mereka.
Walaupun sedikit berbeza dengan manusia, namun haiwan juga tidak dapat lari daripada perasaan sebegitu.
Mereka juga mendapat tahu sekiranya terdapat haiwan dalam kesusahan. Tidak kiralah mereka terdiri daripada pelbagai jenis dan spesies yang berbeza sekalipun. Berikut merupakan antara haiwan yang bertindak menyelamatkan rakan haiwan lain, yang berjaya dirakam.
Kucing baka ragdoll ini menyedari bahawa ikan yang terkenal dengan jolokan Nemo terperangkap pada air cetek. Seperti yang kita tahu, kucing tidak akan melepaskan peluang jika ikan berada di depan mata mereka. Tetapi lain dengan kucing ini. Ia cuba menolak kembali ikan berkenaan ke dalam air yang dalam. Setelah itu, ikan itu kembali berenang semula dan kucing berkenaan berlalu pergi.
Sementara itu, di Budapest, Hungary, seekor beruang membantu rakannya iaitu seekor burung yang terjatuh ke dalam kolamnya. Beruang berkenaan cuba mengeluarkan burung itu menggunakan mulutnya. Dalam sekelip mata, beruang itu berjaya mengeluarkan burung dan meletakkannya pada kawasan yang kering. Nyawa burung itu berjaya diselamatkan, syukurlah ada rakan beruangnya.
Begitu juga dengan anjing ini yang menghadapi insiden yang sama iaitu terdapat seekor ikan berada di lantai simen dan sedang bergelut di atas permukaan darat. Menyedari kesusahan ikan itu, anjing berkenaan cuba memercikkan air bagi membantu ikan tersebut bernafas.
Selain itu, terdapat anak burung yang terjatuh ke dalam air dan insiden berkenaan disaksikan oleh seekor orang utan yang bertindak menghulurkan daun supaya rakannya itu menggigit daun tersebut. Akhirnya, anak burung berkenaan berjaya diangkat dan diselamatkan.
Terdapat juga seekor anak kucing yang terjatuh di kawasan bukit berbatu dan ia juga berjaya diselamatkan oleh seekor kucing dewasa yang berada di kawasan tersebut.
Lain pula kisahnya dengan seekor anjing yang terjatuh ke dalam sungai. Air yang deras menyebabkan anjing itu tergelincir namun ia sempat menggigit ranting kayu. Kemudian, rakannya sempat menggigit ranting kayu itu sekaligus menyelamatkan nyawa sahabatnya itu!
Kredit: GoodTimes
Kesemua kisah berkenaan membuktikan bahawa haiwan juga merupakan antara makhluk yang penyayang dan baik hati. Jadi, apa alasan kita untuk tidak membantu orang lain yang berada dalam kesusahan? Kita masih belum terlambat untuk melakukan perubahan. Ayuh segera bertindak!
Kredit:Era Baru
Tiada ulasan:
Catat Ulasan